Maklumat Am / Geografi

Pulai Ireland terletak di Eropah Barat bersebelahan dengan Great Britain. Pulau ini terdiri dari Republik Ireland dan Northern Ireland, kedua-duanya ahli Kesatuan Eropah, namun disebabkan berlainan negara, mereka mempunyai mata wang, undang-undang dan peraturan lain yang berbeza.
Ireland adalah sebuah kecil dengan saiz anggaran 450 km panjang dan 300 km lebar, merangkumi kawasan seluas 84,500 km persegi.
Wilayah Ireland
Pulau Ireland terbahagi kepada Wilayah, setiap satu menawarkan pengunjung pengalaman percutian yang unik dan sukar dilupakan. Dari pemandangan yang menakjubkan dan kehidupan kampung hingga kepada kesibukan kota yang penuh bertenaga, pulau Ireland menanti untuk diterokai.
Pantai Timur Ireland
Dublin ialah ibu negara Republik Ireland yang terletak di tengah-tengah wilayah yang menawan hati para pengunjung dengan pilihan pelbagai monumen bersejarah, pemandangan semula jadi yang cantik, acara sukan yang menghiburkan dan tasik, sungai serta pantai yang tidak tercemar.
Dublin biasanya menjadi tempat kunjungan yang pertama bagi para pengunjung dan bandar yang bertenaga ini menyediakan pelbagai gabungan tarikan sejarah, budaya, bar dan pub yang bergaya, seni bina yang elegan, pusat beli-belah yang hebat serta restoran yang paling sofistikated. Dublin kini merupakan bandar yang paling teratas kedudukannya di Eropah dengan penampilan yang kosmopolitan dan pelbagai.
Di luar kawasan Dublin, Timur Ireland membawa kisah yang berlainan dengan daerah-daerah Cavan, Kildare, Laois, Longford, Louth, Offaly, Meath, Monaghan, Westmeath dan Wicklow yang menawarkan gaya hidup yang berbeza. Kawasan ini terkenal dengan daya tarikan semula jadinya yang kaya, tapak purba Newgrange dan Clonmacnoise, padang golf terkemuka dan perlumbaan kuda yang terkenal di seluruh dunia. Daerah Kildare khususnya adalah tempat bagi kuda baka yang terbaik di dunia dan Piala Ryder 2006.
Namun yang benar-benar mendefinisikan kawasan Timur ialah kawasan luar bandarnya yang tidak tercemar. Keindahan tasik, sungai, kehidupan desa, kawasan ternakan, bukit bukau dan hutan menjadikan kawasan ini syurga bagi para peminat aktiviti luar seperti berbasikal, sukan air, berjalan, memancing, bermain golf, menunggang kuda dan sebagainya.
Pantai Selatan Ireland
Selatan Ireland yang cantik terkenal dengan rentak kehidupannya yang lebih relaks serta keindahan semula jadinya yang tiada tandingan. Terdiri daripada daerah Carlow, Cork, Kerry, Kilkenny, Tipperary, Waterford dan Wexford, Selatan Ireland menjanjikan pelbagai kemungkinan sama ada anda ingin menikmati hidangan tempatan, bermain golf di padang links tepi pantai atau merehatkan diri di spa yang menjadi sebutan di seluruh dunia.
Kawasan selatan kini semakin terkenal dengan reputasi sebagai lokasi gourmet yang terbaik di Ireland. Pasar Tani terdapat di merata tempat dan anda pasti teruja mencari tempat yang menawarkan makanan yang enak seperti roti soda, makanan salai, keju serta ikan dan makanan laut segar.
Setiap daerah mempunyai keistimewaan masin-masing. Untuk bermewah, Kerry menawarkan pelbagai spa istimewa; Cork pula memiliki restoran yang menjadi sebutan ramai; manakala Waterford dan Wexford pula terkenal dengan pantai dan perkampungan tepi lautnya yang comel.
Di sebelah darat pula daerah Kilkenny, Tipperary dan Carlow menawarkan warisan lama, festival, pub dan pemandangan sungai yang tenang. Tipperary pula dikenali sebagai daerah kuda kerana di sinilah kebanyakan kuda lumba baka baik kami dilatih!
Kawasan ini mudah dikunjungi sama ada melalui udara ke lapangan terbang Cork, Kerry dan Shannon, atau laut melalui pelabuhan Rosslare di daerah Wexford, untuk lawatan yang tidak akan anda lupakan! Di seluruh kawasan Selatan, anda pasti teruja dengan pelbagai peluang untuk melawat tempat-tempat menarik, landskap yang indah, membeli-belah dan makanan yang enak!

Pantai Barat Ireland
Barat Ireland merupakan tempat yang mempesonakan dipenuhi pekan dan kampung dengan suasana yang tenang, kawasan pantai yang cantik, cenuram laut yang tinggi serta kawasan luar bandar yang berbukit-bukit yang menawarkan tempat percutian yang cantik dengan tradisi warisan budaya yang kaya.
Terdiri daripada daerah Clare, Donegal, Galway, Leitrim, Limerick, Mayo, Roscommon, Sligo, Offaly dan Tipperary, kawasan Barat pasti dapat memikat hati anda untuk pengalaman yang tidak mudah dilupakan oleh setiap pengunjung.
Landskap Donegal yang menarik termasuklah Glenveagh National Park and Castle; KawasanYeats yang boleh dilihat daripada kawasan tanah tinggi Ben Bulben di Daerah Sligo; atau anda juga boleh menaiki kapal untuk pemandangan sudut lain dari Aran Islands di Daerah Galway atau Achill Island, Daerah Mayo..
Bagi mereka yang sukakan pendakian, sudah pastinya tidak mahu melepaskan peluang berjalan menaiki Cliffs of Moher, Daerah Clare! Lough Key Forest Park di Roscommon yang terletak di paras laut menampilkan kedamaian; manakala Sungai Shannon yang mengalir melalui daerah Leitrim, Offaly dan Limerick mampu membuatkan anda terpegun dengan kecantikan legendanya. !
Dengan lapangan terbang kawasan yang berjumlah lima kesemuanya, anda boleh memilih untuk terbang ke lapangan terbang Shannon, Galway, Knock, Donegal atau Bandar Derry untuk memulakan percutian anda! Tidak kira sama ada anda ingin mencari ketenangan atau menikmati kemeriahan festival musim panas, barat Ireland memiliki segala-galanya.
Northern Ireland
Keindahan Northern Ireland berjalin dengan sejarah penuh tragedi, budaya yang kaya dan kemesraan penduduknya.
Kawasan gunung-ganang, tasik yang cantik dan pantai yang indah menjadikannya tempat yang ideal untuk para peminat sukan air, pejalan kaki, penunggang basikal, pengembara, pendaki gunung dan pelayar.
Terdapat juga pelbagai perkara yang boleh dilakukan oleh mereka yang inginkan pengalaman budaya. Bahagian Pulau Ireland ini menawarkan festival tiram yang meriah, pesta kuda yang asli, kastil purba serta rumah desa yang cantik .
Enam daerah Antrim, Armagh, Down, Fermanagh, Londonderry dan Tyrone kini menanti anda untuk diterokai.