Merancang Lawatan Anda / Sewa Kereta

Sewa Kereta
Kebanyakan syarikat sewa kereta utama mempunyai kaunter di lapangan terbang, terminal feri dan di bandar-bandar di serata Ireland.
Secara amnya, syarikat sewa kereta tidak akan membenarkan mereka yang berumur di bawah 21 tahun dan melebihi 70 tahun untuk menyewa kereta. Bakal pemandu hendaklah mempunyai lesen memandu yang sah. Sila rujuk kepada syarikat sewa kereta bagi terma dan syarat, sebelum mula memandu.
Menyewa kereta adalah lebih murah sekiranya anda telah membuat tempahan sebelum tiba di Ireland. Pastikan anda membuat tempahan lebih awal sekiranya anda melawat semasa musim puncak. Kebanyakan kereta sewa adalah manual, iaitu bukan kereta automatik. Sekiranya anda membuat tempahan awal, anda mungkin boleh mendapatkan kereta automatik dengan caj tambahan.
Tempat duduk kanak-kanak hendaklah ditempah terlebih dahulu untuk mengelakkan kehampaan. Maklumkan kepada syarikat sewa kereta sekiranya anda bercadang untuk berjalan antara Republik Ireland dan Ireland Utara.
Lesen dan Insurans
Pelancong yang datang ke Ireland hendaklah mempunyai sama ada lesen memandu negara mereka yang sah atau permit memandu antarabangsa yang dikeluarkan di luar negara. Dokumen ini boleh didapati daripada organisasi permotoran di negara asal.
Undang-undang Memandu
* Di Ireland, memandu adalah di sebelah kiri dan tali pinggang keledar wajib dipakai pada setiap masa, bagi penumpang di hadapan dan di belakang. Mereka yang menunggang motosikal pula wajib memakai topi keledar.
*Terdapat undang-undang yang ketat terhadap pengambilan alkohol dan memandu. Mereka yang tidak mematuhi undang-undang ini akan dikenakan hukuman berat.
* Di Republik Ireland dan Ireland Utara, had laju adalah 30 batu sejam/50 km sejam di kawasan bandar, 60 batu sejam/100 km sejam di jalan raya terbuka dan 70 batu sejam/120 km sejam di lebuh raya.
* Penunggang motosikal dan pembonceng wajib memakai topi keledar.

Tanda Jalan
Di Republik Ireland, tanda jalan yang menunjukkan jarak kini dinyatakan dalam kilometer sejam. Semua tanda jalan dan nama tempat dinyatakan dalam dua bahasa iaitu bahasa Irish (Gaelic) dan Bahasa Inggeris (melainkan di kawasan Gaeltacht, di mana hanya bahasa Gaelic sahaja yang digunakan). Di Ireland Utara, semua tanda jalan dan tanda had laju dinyatakan dalam batu sejam dan nama tempat adalah dalam Bahasa Inggeris.
Bahan api
Terdapat banyak rangkaian stesen minyak di seluruh Ireland. Harga mungkin berbeza tetapi bagi mendapatkan maklumat mengenai harga di Ireland Utara dan Republik Ireland, layarilah AA Road Watch.
Laman web yang berkaitan
Pautan
Sekiranya anda ingin melawat ke seluruh Ireland, pemandu pelancong kami boleh menawarkan laluan perjalanan, peta laluan dan undang-undang pemanduan. Hanya dapatkan salinan percuma anda daripada dalam talian bagi salinan Panduan Lawatan Dengan Kereta atau muat turun brosur dinamik dalam talian.