Itinerari yang Dicadangkan / Lawatan Pantai Timur Ireland


Click To Enlarge

Mula: Bandar raya Dublin - Tamat: Bandar raya Dublin
Untuk ke sini: Penerbangan ke Lapangan Terbang Dublin
Purata perbatuan sehari: 85km
Cadangan jangka masa: 5 hari

Hari 1


Nikmatilah pemandangan dan suasana Dublin, bandar raya kosmopolitan yang penuh tradisi. Bersiar-siarlah di dataran redup dengan rumah-rumah Georgian dan laman batu buntar Trinity College, atau singgah di Guinness Storehouse untuk melihat bagaimana minuman Ireland yang terkenal dibuat. Bersosiallah di pub atau bar baru yang trendy dengan DJ bertaraf dunia. Membeli belahlah di butik-butik pereka atau di pasar raya tradisional seperti Brown Thomas, Clerys dan Arnotts. Terdapat pelbagai galeri atau muzium seperti Chester Beatty Museum atau Dublin Writers Museum untuk dikunjungi. Anda juga boleh bermalam di hotel, rumah tumpangan atau ‘Bed and Breakfast’ yang banyak terdapat di bandar raya ini.
Jumlah perbatuan: 0km

Hari 2


Mulakan perjalanan ke arah selatan dan keluar ke desa melalui laluan R115. Anda akan tiba di Wicklow Mountains, lokasi yang dikelilingi bukit dan lembah serta hutan menghijau di mana anda boleh berhenti untuk berbasikal, bersiar-siar atau menunggang kuda. Teruskanlah ke Sally Gap Mountain dan nikmati pemandangan indah di sekeliling anda. Kemudian ikuti laluan R756 ke Glendalough. Ini adalah lokasi yang damai dengan lembah berkabus dan tasik yang tenang. Ia juga adalah lokasi biara purba dan Gereja St Kevin. Teruskan perjalanan melalui National Park (N81, R411, R413, M7) ke Kildare, di mana anda boleh melawat Irish National Stud dan Taman Jepun dan Taman St Fiachra yang bersebelahan dengannya.
Jumlah perbatuan: 112km

Hari 3


Dari Kildare, anda tidak perlu mengambil masa yang panjang untuk ke Portlaoise dan Emo Court House, County Laois – villa desa neo-klasik dengan taman berlandskap dan indah melalui lalui M7. Kemudian, ambil laluan N80, N52 dan R394 ke utara untuk melawat lokasi lain yang mempunyai istana yang menarik – Tullynally Castle, tidak jauh dari Castlepollard di County Westmeath. Istana zaman dongeng lengkap dengan menara, meriam dan taman yang indah. Bermalamlah di bandar Mullingar sebelum meneruskan lawatan seterusnya.
Jumlah perbatuan: 121km

Hari 4


Hala ke utara arah ke Killykeen Forest Park, County Cavan (melalui R394, N55, 5 baru dari bandar Cavan) yang dihiasi tasik, pulau dan kawasan hutan. Dengan dikelilingi air Lough Oughter dari River Erne, terdapat juga denai-denai yang menghala ke dalam hutan di mana anda boleh melihat flora dan fauna kawasan ini yang menarik dengan lebih dekat lagi. Anda juga berpeluang untuk berjalan-jalan, memancing atau treking dengan menunggang poni. Sekiranya anda tidak puas lagi, bermalamlah di kabin kayu yang terdapat di sini.
Jumlah perbatuan: 68km

Hari 5


Dari bandar Cavan, ambil laluan N3 ke lokasi megalit Newgrange yang amat menarik di mana terdapat bumbung yang kekal kalis air selama lebih 5,000 tahun. Lokasi ini merupakan Lokasi Warisan Dunia atau World Heritage Site dengan kawasan persemadian purba seluas lebih satu ekar dan dikelilingi oleh 97 batu sempadan yang dihiasi dengan seni megalit. Dari sini, anda boleh ke Dublin dengan mudah melalui laluan M1 dan bersedia untuk menaiki feri atau pesawat untuk perjalanan pulang.
Jumlah perbatuan: 124km



Sekiranya anda mempunyai masa …


• Berjalan di denai pergunungan di Slieve Blooms, County Laois.

• Alami gaya hidup lampau di Causey Farm, Navan, County Meath dengan mencuba memotong rumput gambut, kelas bodhrán (gending kecil Irish), kelas tarian céilí dan banyak lagi.

• Terokai bandar-bandar di pinggiran pantai seperti Dun Laoghaire, Dalkey dan Killiney di pinggir bandar Dublin

• Menjamu mata dengan reka bentuk dan corak menarik di Cavan Crystal, dan pilihlah beberapa buah tangan untuk sahabat handai dan keluarga di tanah air.

  Polisi Privasi| Terma Kegunaan | PetaTapak © 2008 - Ireland - Semua Hak Terpelihara.
Top