Itinerari yang Dicadangkan / Lawatan Northern Ireland
Click To Enlarge
Mula: Bandar raya Belfast - Tamat: Bandar raya Belfast
Untuk ke sini: Terbang ke Belfast dan menyewa kereta.
Purata perbatuan sehari: 111km
Cadangan jangka masa: 5 hari
Hari 1
Mengambil Causeway Coastal Route dari Belfast melalui Carrickfergus, melawat kastil berusia 800 tahun semasa dalam perjalanan, kemudian melalui A2 untuk ke Larne. Laluan ini diberi taraf laluan jalan raya kelima teratas di dunia. Dari sini pandu ke utara sambil menikmati pemandangan yang menakjubkan – sehinggakan anda hanya beberapa meter sahaja daripada ombak laut. Sambil anda meneruskan perjalanan, anda bakal menempuhi Nine Glens of Antrim. Berhentilah untuk meneroka lembah terpencil ini selain pantai yang indah. Rehatkan diri di Glenariff Forest Park sambil bersiar-siar di kawasan hutan. Terdapat banyak perkampungan yang cantik di sepanjang pantai dan kami mencadangkan anda untuk berhenti makan tengah hari di perkampungan Cushendun. Dari sini ambil laluan pesisir pantai ke Torr Head untuk melihat pemandangan Mull of Kintyre. Ambil semula Causeway Coastal Route untuk ke Ballycastle sebelum melalui jalan pantai ke Carrick-a-Rede Rope Bridge, di mana anda boleh melintasi jambatan yang merintangi jurang sedalam 80 kaki yang pasti membuatkan anda teruja. Teruskan perjalanan ke Bushmills, di mana anda boleh melawat Distillery, dan mungkin menikmati sedikit wiski selepas anda menyimpan kereta untuk bermalam.
Jumlah perbatuan: 142km
Hari 2
Di sebelah pagi, tuju ke Giant’s Causeway melalui jalan pantai – anda memerlukan masa untuk menghargai kehebatan alam semula jadi ini. Menurut legenda gergasi Irish Fionn mac Cumhaill (Finn McCool) membina tambak ini untuk ke Scotland bagi bertarung dengan gergasi Scottish bernama Benandonner. Perjalanan ke arah barat bakal menempuh kastil peninggalan zaman pertengahan Dunluce Castle yang hampir musnah menghadap laut, atau nikmati udara bersih di pantai Portrush atau Portstewart.
Jangan lupa menyaksikan Mussenden Temple di sepanjang Benone Strand sepanjang 9 batu, sebelum kembali ke bandar raya Londonderry untuk bermalam.
Jumlah perbatuan: 74km
Hari 3
Luangkan masa berjalan di tembok bandar raya Londonderry yang dibarisi meriam sambil melihat pemandangan dan tempat menarik yang bersejarah di sekitar kota raya. Kemudian menuju ke selatan melalui B48 dan A32 ke arah Enniskillen, County Fermanagh. Terdapat pelbagai pemandangan indah untuk dilihat sepanjang perjalanan seperti Sperrin Mountains; dan anda juga boleh mengubah sedikit jadual perjalanan untuk mengunjungi Ulster American Folk Park, berhampiran Omagh, County Tyrone. Ia merupakan antara muzium terbuka yang terbaik yang mempamerkan sejarah mengapa 2 juta orang meninggalkan Ulster untuk ke Amerika pada abad ke18 dan ke19. Gortin yang terletak berhampiran memiliki taman hutan yang hebat di mana kecantikan flora dan faunanya boleh dilihat. Tamatkan hari anda di Enniskillen dengan mengunjungi kastilnya yang menawan.
Jumlah perbatuan: 131km
Hari 4
Luangkan masa anda untuk beberapa lama di Fermanagh Lakelands kerana anda berada di tempat yang paling sesuai untuk melihat keindahan Lough Erne dan mungkin boleh menghabiskan masa anda di atas air untuk melihat kehebatan hidupan liar di sekeliling anda. Selepas itu pandu pula ke Portaferry di County Down (via A4, M1, A49, A24, A25) untuk bermalam di perkampungan tepi pantai ini. Laluan ke kampung ini adalah dengan menaiki feri kereta dari Strangford.
Jumlah perbatuan: 166km
Hari 5
Portaferry terletak di pinggiran Strangford Lough, sebuah tasik laut yang cantik. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang laluan air ini, kunjungi Exploris Aquarium, di mana anda menemui tempat pemulihan untuk singa laut yang cedera atau anak-anak singa luat yang ditinggalkan selain kolam-kolam air untuk diteroka dan peluang mendekati hidupan laut. Teruskan ke utara arah pantai timur untuk lebih banyak pemandangan yang cantik. Nikmati sukan air atau menaiki bot, kemudian bersantailah di salah sebuah kedai teh Greyabbey dan Mount Stewart House yang memiliki taman yang cantik. Selepas itu kembali semula ke kota raya Belfast, di mana perjalanan anda bermula.
Jumlah perbatuan: 46km
Sekiranya anda mempunyai masa…
• Bersiar-siar di Castle Coole, County Fermanagh iaitu salah sebuah rumah agam yang hebat di Ireland; atau terokai Marble Arch Caves, County Fermanagh, sebuah dunia yang dipenuhi terowong, sungai dan air terjun bawah tanah.
• Renungi bintang di Armagh Planetarium, di mana anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang kesan tahi bintang dan kehebatan robot angkasa lepas.
• Alami pengalaman interaktif di W5, pusat penerokaan yang memenangi anugerah di Odyssey, Belfast, dengan lebih daripada 160 pameran di empat kawasan pameran yang dinamik.
• Kunjungi Belleek Pottery di tebing River Erne. Inilah tempat yang menghasilkan Belleek Fine Parian China yang terkenal di seluruh dunia.
