Itinerari yang Dicadangkan / Lawatan Pantai Selatan Ireland

Click To Enlarge
Mula: Pekan Wexford, County Wexford - Tamat: Mizen Head, County Cork
Untuk ke sini: Terbang ke Waterford
Purata perbatuan sehari: 156km
Cadangan jangka masa: 5 hari
Hari 1
Dari Wexford Town, masuk ke R733, R737 untuk ke Hook Head. Keindahan semenanjung ini berakhir di rumah api zaman pertengahan yang masih tegak berdiri dan menjadi rumah api tertua di dunia yang masih beroperasi. Nikmati perkelahan berhampiran rumah api kemudian teruskan ke utara melalui R734 ke New Ross. Naiki Dunbrody Emigrant Ship, sebuah replika berdasarkan kapal yang dibina pada tahun 1845 untuk membawa para pendatang ke Amerika Utara. Pemanduan singkat dari sini melalui N25 membawa anda ke Waterford, antara bandar tertua di Ireland. Luangkan masa bersiar-siar di tembok kota dan jangan lupa mengunjungi kilang Kristal semasa anda di sini!
Jumlah perbatuan: 61km
Hari 2
Dari Waterford, anda cuma perlu melalui jalan mudah N9 dan N10 untuk sampai di Kilkenny. Bersantailah di pub dan restoran yang selesa dan jangan lupa membeli cenderamata dari galeri seni dan kraf yang ada di bandar ini. Pekan berikutnya ialah Cashel, County Tipperary, (melalui R693, N8) – yang memiliki Rock of Cashel setinggi 200 kaki dengan kastil zaman pertengahan, katedral dan gereja. Seterusnya ke Cork melalui N8. Bandar yang sibuk ini memiliki pelbagai pilihan kedai, restoran dan bar. English Market pasti menawan selera anda dengan menjual makanan hasil keluaran tempatan yang enak. Blarney Castle terletak berhampiran di mana anda berpeluang mencium batu terkenal yang dipercayai boleh memberikan anda kehebatan berpidato! Bermalam di bandar Cork.
Jumlah perbatuan: 217km
Hari 3
Dari bandar Cork, laluan N27 dan R600 membawa anda ke perkampungan pelabuhan Kinsale. Di sini anda berpeluang menjamu selera makan ikan segar. Selepas itu, N17 akan membawa anda sepanjang pantai barat ke arah Killarney. Sebelum itu anda akan menempuh Muckross House, sebuah rumah agam zaman Victoria yang hebat dengan taman menghadap Muckross Lake. Di sini adalah tempat yang sesuai untuk memulakan penerokaan ke Killarney National Park.
Jumlah perbatuan: 153km
Hari 4
‘The Ring of Kerry’ adalah tempat yang perlu dikunjungi semasa di Killarney (arah lawan jam - N72, N70). Anda perlu meluangkan masa sehari di sini kerana anda pasti kerap berhenti untuk menikmati pelbagai pemandangan yang ada. Sebagai laluan paling popular dengan pemandangan indah di negara ini, keajaiban alam ini merangkumi pantai Iveragh Peninsula, dengan kombinasi lautan, pulau-pulau, perkampungan kecil dan warisan arkeologi purba untuk menjadikannya seronok untuk diterokai. Pengembaraan anda tamat di Kenmare.
Jumlah perbatuan: 175km
Hari 5
Dari Kenmare ikut laluan pantai ke Beara Peninsula (melalui R571), yang lebih liar dan gondol penampilannya namun masih cantik untuk dikunjungi. Glengariff sesuai untuk berhenti makan tengah hari – anda boleh menaiki feri ke Garinish Island untuk melihat taman-taman. Kemudian ambil laluan N71 dan R591 ke Mizen Head. Perjalanan anda berakhir seperti pada permulaan …sebuah rumah api. Rumah api ini terletak di titik barat daya paling jauh di Ireland.
Jumlah perbatuan: 86km
Hari 5
• Kunjungi John F Kennedy Arboretum di County Wexford untuk bersiar-siar dan berkelah
• Cashel Folk Village di County Tipperary merupakan perkampungan tradisional Irish yang dibina semula dengan rumah-rumah beratap jerami, kedai-kedai dan bengkel tukang besi.
• Taman-taman cantik di Altamont, County Carlow, yang sering digelar ‘mahkota taman Ireland’.
• Kunjungi Irish National Heritage Park, Ferrycarrig, County Wexford, di mana boleh meneroka laluan warisan di kawasan seluas 35 ekar termasuk Ringfort, Viking House dan sejarah selama 9000 tahun.