Itinerari yang Dicadangkan / Lawatan Pantai Barat Ireland
Click To Enlarge
Mula: Newport, County Mayo - Tamat: Bandar raya Londonderry
Untuk ke sini: Terdapat beberapa buah lapangan terbang yang mudah dikunjungi termasuk Ireland West Airport Knock, Galway atau Shannon di mana anda boleh menyewa kereta, atau terus ke City of Derry Airport.
Purata perbatuan sehari: 147km
Cadangan jangka masa: 5 hari
Hari 1
Meninggalkan Newport, County Mayo, dan memandu sepanjang pantai Clew Bay, melalui arah selatan N59 untuk ke Connemara, County Galway. Berhenti di Kylemore Abbey yang terletak berhampiran tasik. Pada mulanya ia sebuah rumah agam jutawan, dan kini kediaman bagi biarawati Benedictine Ireland. Habiskan baki hari anda meneroka Connemara. Anda boleh melakukan pelbagai aktiviti sukan lasak di National Park atau mengambil pilihan yang lebih santai dengan berehat di pantainya yang memiliki pasir putih yang cantik. Kami mengesyorkan anda bermalam di perkampungan nelayan Roundstone, County Galway.
Jumlah perbatuan: 101km
Hari 2
Ikuti lebuh raya N59 dari Roundstone menuju ke bandar raya Galway, kota seni yang memiliki warisan budaya dan kesenian yang kukuh. Luangkan masa untuk meneroka sebelum memulakan semula pemanduan anda. Cari laluan anda untuk ke N18 dan R460 dan tuju ke The Burren di County Clare, yang menampilkan landskap batu kapur Karst yang dipenuhi dengan penempatan purba, makam lama dan flora serta fauna yang cantik. Anda pasti tidak terlepas Cliffs of Moher yang terletak di sebelah barat umpama anda berada di hujung dunia. Lahinch yang terletak di selatan adalah tempat yang sesuai untuk bermalam yang turut memiliki pantai yang cantik sesuai untuk para peluncur ombak.
Jumlah perbatuan: 177km.
Hari 3
Dari Lahinch, anda cuma perlu memandu sebentar ke utara untuk sampai di Doolin, tempat yang digelar pusat muzik tradisional Irish. Selepas menikmati alunan merdu bodhrán (gendang kecil Irish) dan biola, beredarlah ke pelabuhan, tinggalkan kereta anda dan naiki feri ke Aran Islands. Selepas belayar selama 20 minit anda akan tiba di pulau yang penuh tradisi kemesraan serta keindahan alam semula jadi yang menawan. Luangkan masa selama sehari untuk meneroka pulau dan landskap batu kapurnya yang unik. Kawasan ini seperti sebuah muzium terbuka yang dipenuhi artifak dan peninggalan budaya yang penting. Bahasa utama ialah Gaelic, namun fáilte (selamat datang) pasti difahami maksudnya oleh setiap orang. Terpulang kepada anda sama ada bermalam di pulau atau di Doolin, County Clare.
Jumlah perbatuan: 19.5km
Hari 4
Dari Doolin teruskan perjalanan ke Sligo, menggunakan laluan N67, N18 dan N17. Para peminat sejarah mungkin mahu singgah di tapak Céide Fields dekat Carrowmore, County Mayo. Jarak perjalanan anda mungkin bertambah namun sebagai tapak megalitik terbesar di Ireland dengan lebih daripada 60 makam lama serta pusat warisan yang menceritakan kisah nenek moyang kami daripada 200 generasi yang lalu, sudah tentulah berbaloi lawatan anda. Hentian seterusnya ialah pekan Sligo yang memiliki warisan sastera yang panjang dan hebat. Warga pekan yang paling terkenal ialah sasterawan WB Yeats dan kawasan persekitaran mengingatkan kita bagaimana beliau mendapat ilham untuk hasil karya yang hebat. Yeats dikebumikan di Drumcliff di utara pekan Sligo dengan kuburnya diteduhi bayang-bayang Benbulben Mountain. Anda mungkin ingin bersiar-siar di sekitar Lissadell House and Gardens, yang pernah menjadi sumber inspirasi sasterawan agung ini.
Jumlah perbatuan: 234km
Hari 5
Dari pekan Sligo, pandu ke arah utara ke Donegal melalui laluan pantai N15 yang cantik pemandangan. Berehat untuk makan tengah hari di pekan Donegal yang terletak di tebing River Eske dan dibayangi Bluestack Mountains yang hebat. Selepas itu menuju ke timur melalui N56 dan R263 ke Slieve League untuk melihat cenuram paling tinggi di Eropah. Tuju semula pendalaman ke Glenveagh National Park, sebuah kawasan pergunungan, tasik dan hutan, di mana anda berpeluang melihat hidupan liar seperti rusa merah dan Golden Eagle yang diperkenalkan semula baru-baru ini sebagai mengakhiri pengembaraan anda. Anda cuma perlu melalui jarak perjalanan yang pendek melalui N56 ke timur melalui Letterkenny, kemudian memasuki N13 dan A2 untuk ke Londonderry, di mana anda boleh berehat dan bersantai di mana-mana pub dan restoran yang menarik di kota ini sebelum pulang.
Jumlah perbatuan: 204km
Sekiranya anda mempunyai masa …
• Sertai Donegal Bay Sea Safari di mana anda boleh menghampiri hidupan liar; meneroka sehingga Bloody Forelands, atau mengunjungi Glenties di Donegal.
• Lawati Achill Island di luar pantai County Mayo. Pulau terbesar di Ireland ini telah mula didiami sejak zaman Neolitik dan ia dihubungi dengan tanah besar oleh Michael Davitt Bridge, dan anda boleh membawa kereta anda ke pulau ini.
• Naiki kereta api wap The Cavan & Leitrim Railway Dromod, County Letrim.
• Medieval Bunratty Castle, County Clare, terletak di sepanjang Shannon Estuary dan dihias dengan dewangga, artifak dan lukisan. Jangan lupa melihat Great Hall, kurungan bawah tanah dan empat buah menara.
• Dikenali sebagai kampung tercantik di Ireland, Adare, County Limerick, adalah laksana sekeping gambar poskad dan seronok untuk dikunjungi.
• King John’s Castle adalah kastil abad ke-13 di bandar Limerick. Terokai lokasi bersejarah yang memiliki pemandangan yang cantik dan sejarah zaman Norman yang hebat ini.
• Hunt Museum di bandar Limerick mempamerkan antara koleksi seni dan antik yang terhebat di Ireland.