Itinerari yang Dicadangkan / Kastil, Rumah dan Taman


Click To Enlarge

Mula: Bandar raya Londonderry - Tamat: Bandar raya Dublin
Untuk ke sini: Penerbangan ke Lapangan Terbang City of Derry atau ke Belfast.
Purata perbatuan sehari: 168km
Tempoh yang dicadangkan: 5 hari

Hari 1


Lawatilah bandar bertembok zaman lama Londonderry dan ziarahilah Guild Hall dengan gaya Gothic kurun ke-19 yang dihiasi dengan tingkap kaca berhias yang menggambarkan pelbagai peristiwa bersejarah yang berkaitan dengan bandar ini. Selepas itu, terokai alam semula jadi di Glenveagh National Park (N13/N14/R250/R251). Kedudukan Kastil Glenveagh sangat menarik,. Terletak di atas danau dan di kelilingi oleh gunung yang dilitupi gambut; serta tamannya yang mempunyai pelbagai spesimen yang ganjil. Selepas menjamu selera, teruskan perjalanan ke Ballinfull melalui Ballyshannon dan Bundoran di laluan N15 untuk ke Lissadell House, yang berhadapan dengan Sligo Bay. Dengan penampilannya yang tersergam, bahagian dalamannya mempunyai aliran udara yang baik dan tamannya yang baru di baik pulih kelihatan sungguh cantik. Selepas itu, teruskan perjalanan ke arah selatan melalui Drumcliff di laluan N15 ke bandar Sligo sebelum ke timur melalui N16 ke arah Enniskillen di County Fermanagh dan Castle Coole, hartanah National Trust kurun ke-18. Castle Coole ini adalah salah sebuah rumah neo-klasikal yang terkenal di Ireland dan dikelilingi oleh taman berlandskap yang cantik. Bermalamlah di salah sebuah hotel atau mana-mana Bed & Brekfast yang banyak terdapat di sini.
Jumlah perbatuan: 270km

Hari 2


Dari Fermanagh ke selatan melalui Ballinamore dan Carrick-on-Shannon ke Boyle, County Roscommon (A32, N87, R202, R208, R209, R280, N4) untuk terus ke King House Galleries and Museum. Ketahuilah sejarah bekas tinggalan Georgia ini, keluarga yang pernah tinggal di sini dan sehinggalah ia menjadi berek askar. Tempat lawatan seterusnya ialah Strokestown Park (N61, N5) – rumah kurun ke-18 yang masih mengekalkan kemasan asalnya dan taman bertemboknya yang mempunyai sempadan tumbuhan herba terpanjang di Britain dan Ireland! The Famine Museum juga memberikan gambaran terhadap Sejarah Kebuluran Irish (Great Irish Famine) pada tahun 1840-an.
Jumlah perbatuan: 152km

Hari 3


Satu lagi perjalanan yang agak jauh dari Stroketown, namun berbaloi, adalah lawatan ke Kastil Birr di County Offaly (R368, N63, N61, N6, N62, N52). Kastil ini tidak dibuka kepada orang awam namun tamannya yang indah boleh dilawati. Selain itu, peralatan astronomi, fotografi dan kejuruteraan yang pernah digunakan oleh pemiliknya, termasuklah teleskop yang pernah menjadi teleskop terbesar di dunia – ada dipamerkan. Merentaslah ke County Laois, untuk melawat Heywood Gardens (melalui R440, R430) yang terletak di tenggara Abbeyleix. Kawasan ini terdiri daripada taman yang di reka oleh seorang arkitek terkenal, Sir Edmund Lutyens, tasik dan kawasan hutan. Teruskan ke selatan melalui N77 untuk bermalam di bandar raya Kilkenny.
Jumlah perbatuan: 164km

Hari 4


Gunakan R700 selatan bandar Kilkenny untuk ke Woodstock Gardens and Arboretum. Taman ini wujud sejak tahun 1740-an dan terdapat taman ros yang cantik serta pokok yang unik dan eksotik di denai hutan yang damai. John F Kennedy Arboretum, New Ross, County Wexford, terletak lagi 10 batu di laluan R700 ini. Kawasan besar yang terletak di lereng Slieve Coillte ini mempunyai 4,500 jenis pokok dan pokok renek dari serata dunia, dan anda boleh menikmati pemandangan indah dari atas gunung.
Jumlah perbatuan: 78km

Hari 5


Dari New Ross, teruskan perjalanan arah timur ke County Wicklow yang dikenali sebagai ‘Garden of Ireland’. The National Garden Exhibition Centre di Kilquade berhampiran Greystones (melalui N30, N11) mempunyai taman tema inspirasi oleh pelbagai artis landskap. Hentian seterusnya adalah Powerscourt Gardens and Estate (N11, kemudian R755). Nikmatilah keindahan hiasan dalaman dan taman indah di samping membeli belah mencari makanan, atau pakaian dan cenderahati di Avoca dan anda boleh menjamu selera di kafenya – atau berkelah di Powerscourt Waterfall yang berdekatan. Kawasan ini tidak jauh dari bandar raya Dublin, di mana anda boleh melawat banyak taman bandar termasuklah Phoenix Park. Dengan keluasan 712 hektar, taman ini adalah taman berpagar yang terbesar di Eropah, dan merupakan lokasi Áras An Uachtaráin, kediaman Presiden Irish. Ini merupakan penamat yang sesuai dalam lawatan kastil, rumah dan taman Ireland.
Jumlah perbatuan: 175km

  Polisi Privasi| Terma Kegunaan | PetaTapak © 2008 - Ireland - Semua Hak Terpelihara.
Top