Perkara yang boleh Dilakukan / Taman



Taman


Selain dari keindahan landskap semula jadi, Ireland juga terkenal kerana tamannya yang cantik dan terjaga.  

Melawat taman-taman di Ireland bukan sahaja akan memberikan pengalaman dan memori indah tetapi juga membuka peluang kepada anda untuk melihat budaya kehidupan Irish, yang lampau dan masa kini, kerana kebanyakan taman-tamannya terletak di kastil, rumah-rumah ala gothik dan rumah besar kurun ke-17 dan ke-18.  Ia mungkin merupakan taman kurun ke-17 yang formal, taman berlandskap, taman desa yang meliar, taman kotej, taman botani, atau arboretum.  Keindahan dan kedamaian setiap satunya memberikan pengalaman menarik, sepadan dengan jolokan yang diberikan kepada Ireland sebagai pulau sehijau zamrud.

Dalam usaha memberikan anda yang terbaik, sukar sekali bagi kami untuk memberikan anda senarai 5 Teratas!  Namun berikut adalah senarai 6  Teratas daripada kami.

1. Belvedere di County Westmeath. Lord Belfield telah datang dan tinggal di sini pada kurun ke-18 selepas isterinya, Mary, mempunyai hubungan sulit dengan adiknya Arthur. Arthur berjaya melarikan diri tetapi Mary tidak bernasib baik.  Lord Belfield telah menguncinya di rumah keluarga dan tinggal di vila di tepian tasik di Belvedere. Mary dikurung selama 30 tahun, manakala Lord Belfield pula memujuk hatinya dengan menumpukan perhatiannya terhadap landskap bagi hartanahnya seluas 160 ekar ini.

2. Botanic Gardens, Belfast, adalah tempat di mana letaknya dua rumah hijau yang terawal di Europah. Palm House adalah sebuah rumah pemuliharaan Victoria diperbuat daripada besi tempa yang didirikan dengan bantuan jurutera Dublin, Richard Turner. Tropical Ravine memiliki landskap seperti lembah kecil tropika yang subur jika dilihat daripada laluan atasnya.



3. Butterstream, di County Meath. Dengan birai tumbuhannya yang bergelombang, pokok renek yang dicantas rapi, seni bina klasik, pasu hiasan yang berlumut dan tali aur yang mengalir lesu, Butterstream di selimuti aura bersejarah yang pastinya akan mengejutkan anda memandangkan tempat ini wujud hanyalah selama tiga dekad sahaja!

4. Kylemore Abbey di Connemara, adalah taman bertembok tradisional Victoria yang dijaga rapi. Taman seluas enam ekar ini mula dibina pada penghujung kurun ke 19 dan kini dijaga oleh biarawati Benedictine.

5. Mount Stewart, Newtownards, County Down. Taman yang paling digemari di Northern Ireland di mana hampir setiap gaya seni taman yang popular sejak dua kurun yang lalu ada di sini. Kepelbagaian gaya dan tamanan dari setiap benua digabungkan dengan bijak oleh Edith, Lady Londonderry, untuk menghasilkan taman yang hebat kualiti dan wataknya.

6. Florence Court, Enniskillen, County Fermanagh. Hampir tersorok dengan dibayangi oleh Cuilcagh Mountains, Florence Court ini terkenal di kalangan peminat seni taman sebagai kediaman bagi Irish Yew, yang kini merupakan aspek taman di seluruh dunia. Pokok asli yang ditemui di sekitar 1760 masih lagi dapat dilihat di pinggiran Cottage Wood ini.

Terdapat banyak lagi taman yang dipelihara oleh pemilik mereka dan dibuka untuk umum dengan cara yang lebih informal. Ia adalah tempat yang hebat untuk berkongsi tip-tip penjagaan taman dan mempunyai banyak bilik teh dengan pelbagai makanan lazat dan sayuran tempatan. Tidak kira di mana sahaja anda berada di Ireland, mintalah penduduk tempatan mengesyorkan kepada anda taman yang berdekatan yang boleh anda lawati. Kami yakin anda tidak akan kecewa.

  Polisi Privasi| Terma Kegunaan | PetaTapak © 2008 - Ireland - Semua Hak Terpelihara.
Top