Perkara yang boleh Dilakukan / Berjalan & Berbasikal



Dari bukit ke lembah hingga ke danau dan terusan, terdapat pelbagai pilihan aktiviti luar untuk anda kekal aktif.  Malah, Ireland menawarkan pelbagai latar belakang untuk aktiviti berjalan sahaja seperti tepian pantai, pulau, gunung dan bukit, bencah dan kawasan mur, tempat bersejarah, lokasi arkeologi dan dunia penuh mitos. 

Ke mana sahaja anda pergi, anda akan di kelilingi oleh keindahan fizikal pulau ini namun tidak sekali-kali jauh daripada kemudahan asas. 

Mereka yang gemar berjalan kaki berpeluang berinteraksi dengan masyarakat tempatan dan mengalami suasana hidup santai di pendalaman Ireland.  Sekiranya anda tidak tahu bagaimana mahu memulakannya, terdapat pelbagai seleksi laluan pejalan kaki linear merentasi desa. 

Sekiranya anda mahu berbasikal, laluan basikal juga banyak dan sesetengahnya melalui tempat yang cantik. 

Percutian berbasikal Irish juga menawarkan pelawat banyak laluan di bawah pohon menghijau dan jalan kampung yang sunyi, hampir bebas daripada trafik dan merentasi desa yang masih terpelihara alam semula jadinya.  Kebanyakan jalan-jalan kecil ini telah dibina sejak berkurun dahulu. 

Di Northern Ireland anda boleh mendapat ‘The National Cycle Network’ yang terdiri daripada lebih 770 batu, empat laluan basikal berkualiti tinggi dari Belfast ke Ballyshannon, Ballycastle ke Ballyshannon, Kingfisher Trail dan Loughshore Trail. 

Ke mana sahaja anda berbasikal, dijamin anda akan dapat menikmati pemandangan yang mempesonakan, pelbagai bentuk landskap, kesan sejarah, keramahan orang di desa-desa, tradisi Irish yang mesra dan kedatangan yang dialu-alukan.

Trek Berjalan & Berbasikal 5 Teratas yang kami syorkan adalah seperti berikut:

Dundalk to Drogheda (Berbasikal)


Laluan sepanjang 54 km ini mudah dan melalui tepian pantai yang cantik.  Ia bermula dari Dundalk dan menyusur kampung Castlebellingham sebelum menuju ke perkampungan di tepian pantai, iaitu Annagassan, yang mula-mula ditemui oleh orang Viking.  Laluan ini terus bersambung ke kampung indah Clogherhead sebelum menuju kampung pantai Baltry.  Perjalanan ini lengkap apabila anda tiba ke Drogheda, di mana anda boleh menamatkan lawatan ini dengan melawat rumah “Beaulieu”, yang terkenal kerana seni binanya.



Dromore Wood Loop (Berjalan)


Terletak di penjuru tenggara daerah Burren di County Clare, denai Dromore Wood Loop terletak di dalam kawasan hutan simpan semula jadi yang kaya dengan flora dan faunanya daripada muka buminya yang terdiri daripada sungai, tasik, paya, laluan batu kapur, tanah gambut, rumput mensiang dan hutan.  Kawasan simpanan ini juga mempunyai kawasan bersejarah dan arkeologi, iaitu Istana O’Brien dari kurun ke-17, yang masih berdiri megah di tepian tasik, tapak Cahermacrea Castle, Kilakee Church, dua kubu bulat dan sebuah tanur batu kapur. Denai ini mudah dilawati dengan panduan sendiri dan boleh dilaksanakan dalam masa 2 jam.

Sheep’s Head Loop (Berjalan)


Dengan pemandangan dan pantai yang mempesonakan, Sheep’s Head Peninsula adalah salah satu khazanah Ireland.  Tiada jalan raya ke penghujung semenanjung, maka satu cara untuk menikmati keindahannya adalah dengan berjalan kaki.  Laluan pendek ini merupakan trek 2 jam yang akan membawa anda melalui kawasan berbatu hingga ke rumah api di hujung tanjung. Kepada mereka yang lebih bertenaga, terdapat trek bertahap sederhana ke tahap sukar yang boleh dilalui dalam masa 6 jam.  Laluannya berbaloi dengan serokan, suak, lubang angin dan gerbang laut di sepanjang perjalanan.  Sekiranya anda mendaki Ballyroon Mountain yang landai sehingga ke ketinggian 239 meter, anda akan melalui menara isyarat kurun ke-17, dan dapat melihat kedua-dua bahagian semenanjung dari aras ini.

Muckross Lake Loop (Berjalan)


Terletak di Killarney National Park, lingkaran untuk berjalan kaki Muckross Lake Loop merupakan trek sederhana dengan jarak antara 3 hingga 5 jam berjalan dengan bermula dan tamat di Muckross House.  Laluan ini melibatkan sedikit pendakian dan kunjungan ke taman formal yang cantik serta bangunan bersejarah kurun ke-19, Muckross Demesne. Laluan sunyi kemudiannya akan membawa anda ke pantai kecil dan gua batu Muckross Lake.  Di sini anda dapat menyaksikan burung pucung mencari makan.  Jika anda masuk ke Reenadinna Wood yang menghijau dengan lumut dan pokok paku-pakis, anda mungkin dapat melihat tupai merah dan rusa merah.  Di penjuru bahagian barat Muckross Lake terdapat Dinis Cottage yang berusia 200 tahun.  Anda boleh menyegarkan tubuh dengan mendapatkan makanan dan minuman di sini sebelum pergi ke belakang kawasan Cottage tersebut ke arah yang menghala laluan air tasik Killarney yang menghala turun dan bertembung ke danau sebelah bawah.

Lawatan ke Sungai dan Gereja (Berbasikal)


Laluan berbasikal yang terdapat banyak sungai dan Gereja ini terdapat di Daerah Kilkenny yang akan merentasi tanah ladang yang saujana dan sungai lebar di bahagian timur dan selatan.  Ketua kaum pada zaman dahulu memenuhi kawasan ini dengan gereja dan katedral di tempat-tempat seperti Jerpoint, Holycross, Cashel dan Kilkenny.  Cashel, singkapan batu yang besar, adalah tempat diraja dan merupakan kawasan pertahanan semasa zaman Celtic.  Kini ia adalah antara lokasi tinggalan seni bina terbaik Ireland.  Kilkenny, dengan gereja lamanya kini adalah bandar moden yang sedang berkembang.  Laluan ini melingkungi tiga banjaran bukit di mana puncak tertingginya adalah 240 meter.  Bukit-bukau Castlecomer, di bahagian utara mempunyai salah sebuah lombong arang, manakala di Dunmore pula terdapat gua yang boleh dilawati pengunjung.  Pada cerun Slievenamon terdapat salib berhias Celtic.

  Polisi Privasi| Terma Kegunaan | PetaTapak © 2008 - Ireland - Semua Hak Terpelihara.
Top